UUJOHOR BAHRU – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang diluluskan kelmarin disifatkan sebagai sebahagian kerangka besar reformasi ekosistem kredit pengguna yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Kevy Yeo Kok Vui berkata, langkah tersebut dapat memastikan sistem pembiayaan pengguna di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan selamat.
MTPN katanya, berpandangan pindaan Akta Sewa Beli 1967 [Akta 212] itu akan memberi impak positif kepada pengguna kredit khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang sering menggunakan kemudahan sewa beli bagi memiliki kenderaan dan barangan keperluan.
“Pindaan ini akan memastikan pengguna tidak lagi menanggung caj faedah berlebihan menggunakan kaedah sedia ada.
“Selain juga menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengiraan kadar faedah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Makan Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 di Taman Daya di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Majlis Penasihat MTPN, Profesor Datuk Dr GP Doraisamy yang juga Setiausaha Agung World Humanitarian Drive (WHD) serta dua Timbalan Presiden MTPN, Noorman Kamsani dan Masrudi Abdul Rahman.
Pembentangan tersebut dilakukan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum diluluskan Dewan Rakyat kelmarin.
Mengulas lanjut, Kok Vui berkata, pindaan tersebut juga akan menyokong penggunaan teknologi digital dalam sektor kewangan pengguna dan meningkatkan tadbir urus industri kredit pengguna agar lebih beretika dan berorientasikan kepentingan awam.
Beliau yang dilantik sebagai sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Pengguna Negara (MPPN) pada 19 September lalu berkata, usaha itu akan mampu terus memperkukuh perlindungan pengguna melalui pendekatan dasar yang seimbang antara kepentingan pengguna dan industri.
“Sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus memberikan pandangan dan saranan strategik bagi memastikan setiap dasar dan pindaan undang-undang berkaitan pengguna dilaksanakan secara inklusif, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















