JOHOR BAHRU – Usahawan berasal dari Kuching, Sarawak, Sandra Sii Hie Kiong, 43, mencipta sejarah apabila dipilih menerima Anugerah Usahawan Wanita Berpengaruh Malaysia (MIWE) 2025 di sini malam tadi.
Anugerah tersebut diterimanya sempena Majlis Anugerah Pilihan Pengguna 2025 kali ke-20 anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) di Loon Sing Conventional Hall, Taman Daya di sini.
Sandra yang juga pengasas Nissi Publishing, dikenali sebagai seorang jurutera laman web sejak lebih 20 tahun lalu.
Sejak 2004, Sandra berjaya membangunkan dan menguruskan lebih 200 laman web untuk sektor profesional dan perniagaan.
“Kejayaan bukan datang sekelip mata, tetapi tercetus hasil usaha berterusan dan kepercayaan terhadap potensi diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Tidak hanya cemerlang dalam bidang teknologi, beliau turut menubuhkan Sandra Fitness, sebuah platform latihan kecergasan yang berpusat di Kuching.
Sebagai jurulatih zumba profesional, Sandra berkata, beliau mahu memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini mengakui fokus, disiplin dan semangat tidak mudah menyerah merupakan rahsia kejayaannya dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Seramai 12 usahawan wanita cemerlang daripada pelbagai industri dirai dan menerima anugerah MIWE dan program itu mendapat sokongan kepimpinan daripada Consumers’ Choice Award (CCA) dan Best Intelligent Figures (BIF).
Anugerah itu diberikan kepada tokoh wanita yang menunjukkan kepimpinan, pengetahuan profesional dan semangat keusahawanan tinggi, sekali gus menjadi suri teladan kepada masyarakat.- MalaysiaGazette
















