Siti Norhidayu menunjukkan buku kesihatan bayi dan kanak-kanak serta surat pengesahan kelahiran kanak-kanak dibawah jagaannya sejak lapan tahun lalu, di Kluang, hari ini

KLUANG – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sangat teringin untuk menjejakkan kaki ke sekolah namun dikekang kerana tidak mempunyai MyKid.

Itulah nasib Muhammad Noor Hanif yang ditinggalkan ibu kandungnya kepada seorang wanita selepas dilahirkan di sebuah hospital swasta di sini kira-kira lapan tahun lalu.

Siti Norhidayu Hamim, 29, berkata, Muhammad Noor diserahkan kepadanya selepas tiga hari dilahirkan pada 4 April 2017 oleh ibunya, Jaryatun berusia 30an ketika itu.

Katanya, ketika diserahkan hanya surat pengesahan kelahiran serta buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak disertakan dan wanita itu berjanji untuk datang semula menemuinya tanpa memberi apa-apa sebab.

“Atas dasar rasa simpati, saya menerima bayi itu dan menjaga dengan sebaiknya namun selepas lebih sebulan wanita berkenaan tidak menghubunginya semula malah gagal untuk dihubungi dipercayai sudah menukar nombor telefonnya.

“Kini bayi berkenaan sudah berusia lapan tahun dan perlu bersekolah untuk masa hadapan namun gagal kerana ketiadaan dokumen diri samada Surat Daftar Kelahiran ataupun MyKid,” katanya ditemui di sini hari ini.

Dia yang tinggal di Kampung Permatang Duku, Benut, Pontian berkata, Muhammad Noor perlu masuk sekolah bagi membolehkannya mendapat pendidikan sempurna, sekali gus mendapat dokumen rasmi berada bawah jagaannya secara sah.

Ujarnya, untuk pendidikan awal kanak-kanak itu, mereka hanya memberikan pembelajaran sendiri di rumah walaupun menyedari itu tidak cukup dan tidak selari dengan pendidikan asas negara.

“Untuk itu, saya mengharapkan dapat menemui ibu kandung kepada kanak-kanak ini untuk menyelesaikan urusan pengangkatan secara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka yang mengenali Jaryatun diharap dapat menghubungi saya menerusi talian 014‑3872426 untuk mengatur janji untuk urusan selanjutnya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast