Seorang warga Turkiye ditahan selepas dikesan cuba membawa keluar 10 ekor ikan hidup jenis Discus tanpa permit sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

SEPANG – Seorang lelaki warga Turkiye ditahan selepas dikesan cuba membawa keluar 10 ekor ikan hidup jenis Discus tanpa permit sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), lelaki berusia 52 tahun itu ditahan hasil kerjasama antara AKPS KLIA dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) kira-kira jam 6.26 petang di Pintu Perlepasan Terminal Satelit, Terminal 1.

“Pemeriksaan ke atas bagasi mencurigakan milik penumpang berkenaan menemukan 10 ekor ikan hidup yang dibawa tanpa sebarang dokumen sah,” katanya dalam kenyataan.

Ikan hidup jenis Discus tanpa permit sah dirampas AKPS.

Penumpang tersebut yang dijadualkan berlepas ke Doha, Qatar, gagal mengemukakan permit eksport dan dokumen sokongan sah, termasuk lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta sijil kesihatan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Kesemua ikan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

AKPS menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengeksport atau mengimport haiwan hidup tanpa dokumen sah.

“Langkah ini penting bagi memastikan kawalan biosekuriti dan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara,” jelas agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast