Logo Permodalan Nasional Berhad di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menghargai peruntukan berterusan bagi program Celik Madani yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan menggalakkan amalan pelaburan yang bertanggungjawab dalam kalangan golongan muda Malaysia.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Program Celik Madani oleh PNB akan diteruskan dengan pemberian pelaburan awal RM50 dalam ASB atau ASM kepada 200,000 pelajar.

PNB juga akan menawarkan 5 bilion unit tambahan bagi ASB 3 Didik dan ASM.

Mengulas perkara tersebut, PNB berkata, peningkatan saiz dana unit amanah, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5 bilion unit masing-masing, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 bilion unit.

Peningkatan saiz dana unit Amanah tersebut akan membolehkan semua rakyat Malaysia mengambil langkah bermakna ke arah menjamin masa depan kewangan mereka serta membuka potensi lebih besar untuk penciptaan kekayaan jangka panjang.

Malah, katanya, penambahan saiz dana ini mengukuhkan komitmen PNB terhadap keterangkuman kewangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia, termasuk pelabur baharu dan kali pertama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada produk pelaburan ASNB.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB komited untuk memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif berkaitan di bawah Belanjawan 2026, termasuk pelaburan langsung domestik yang lebih besar oleh GLIC melalui program GEAR-uP, serta menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung demi masa depan jangka panjang yang lebih terjamin.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan kemajuan ekonomi bukan sahaja mampan, tetapi turut dikongsi bersama, selaras dengan visi Kerajaan untuk membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan dan celik kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast