JOHOR BAHRU – Orang ramai ramai berpeluang menikmati kayuhan basikal yang menarik melalui jalan-jalan dalam keadaan lengang di bandar raya ini Disember ini.
Pengalaman tersebut boleh dirasai dalam OCBC Cycle Johor Bahru 2025 yang akan dilancarkan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 14 Disember ini.
Menurut Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, buat julung kalinya program kayuhan itu dianjurkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama OCBC Malaysia.
“Acara ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 penunggang basikal dari Malaysia, Singapura dan kawasan serantau.
“Peserta akan berpeluang menikmati keseronokan menyusuri jalan-jalan di sekitar Bandaraya Johor Baharu yang ditutup kepada lalu lintas kenderaan.
“Laluan sepanjang 21 kilometer (km) ini akan meliputi beberapa mercu tanda ikonik bandaraya, bermula dari Dataran Bandaraya Johor Bahru sebelum melalui Istana Besar Johor, Bangunan Sultan Ibrahim, Persada Johor, Tokong Cina Lama Johor, Tasik Utara, Istana Bukit Serene, Laman Mahkota Istana Bukit Serene dan Saujana,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, program kayuhan itu menyediakan dua pilihan laluan iaitu kayuhan 42 km iaitu dua pusingan untuk penunggang basikal lebih serius.
Satu lagi katanya, laluan 21 km (satu pusingan) untuk penunggang baharu atau rekreasi yang belum bersedia untuk cabaran lebih besar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Malaysia, Tan Chor Sen berkata, program kayuhan itu menekankan komitmennya kepada pembangunan Johor sambil menggalakkan cara hidup sihat dan menyokong amalan lestari.
“OCBC Malaysia sangat komited kepada usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi Johor sambil meningkatkan daya huni di negeri ini, di samping meningkatkan kesejahteraan insan menerusi inisiatif komuniti yang berimpak,” katanya.
Pendaftaran bagi OCBC Cycle Johor Bahru 2025 terbuka kepada mereka yang berumur lebih 16 tahun menerusi www.ocbccyclejb.com sehingga 12 November ini atau sehingga cukup 3,000 peserta.
Selain daripada kategori kayuhan 42km dan 21km, para peserta boleh mengambil bahagian dalam kategori korporat 42km bagi pasukan sepuluh peserta yang dinamakan Kayuhan Datuk Bandar JB.
Kanak-kanak berumur 3-9 tahun juga boleh menyertai kategori Basikal Tolak Kanak-Kanak. Mereka boleh memilih dua jarak iaitu 150 meter dan 200 meter.
Acara 200-meter adalah khusus bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 9 tahun, untuk memberi mereka cabaran lebih besar.- MalaysiaGazette
















