SEGAMAT – Tiga remaja berusia 13 hingga 15 tahun diberkas polis selepas terlibat mencuri duit tabung di surau Kampung Tanjung Sekawang di sini awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pengerusi surau berkenaan menyedari kejadian tersebut sebelum membuat aduan laporan polis pada 3 Oktober lalu.

“Berdasarkan aduan yang diterima tabung surau yang dicuri dianggarkan berisi wang berjumlah RM200. Bertindak atas makluman dan risikan, polis berjaya memberkas ketiga-tiga remaja berkenaan di lokasi berbeza sekitar Segamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zamry berkata, ketika ditahan, polis merampas tabung surau berkenaan yang dicuri daripada mereka.

Katanya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati negatif dan dua daripada mereka masih bersekolah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tambahnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dihukum penjara dan dikenakan denda atau sebat.

Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut, katanya.

“Polis akan terus memerangi jenayah dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta menyalurkan sebarang maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat talian hotline 07-9324222 jika berlaku jenayah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast