KUALA LUMPUR – Malaysia kini giat memperkukuh hubungan dagang dan kerjasama teknologi dengan negara-negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) serta negara membangun sebagai langkah strategik untuk mempelbagaikan pasaran eksport.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor yang menjadi tunjang utama ekonomi.
Beliau menjelaskan, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa negara Barat juga merupakan sebahagian daripada usaha memperluas rangkaian kerjasama antarabangsa yang lebih mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pasaran eksport.
“Kita mungkin perlu terima hakikat bahawa kebergantungan sasaran atau destinasi eksport negara terhadap Amerika Syarikat mungkin satu hari nanti akan berakhir.
“Amerika Syarikat sekarang ini tidak ingin mengimport dari negara kita dan negara-negara Asia. Maka kita perlukan rakan kongsi baharu.
“Ini adalah hala tuju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeratkan hubungan kita bersama negara-negara lain terutamanya dalam konteks BRICS,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ching Tong (PH-Iskandar Puteri) menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang bertanyakan berkenaan usaha dan langkah kerajaan dalam melaksanakan strategi mempelbagaikan pasaran eksport di negara-negara BRICS.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkenaan langkah kerajaan mempelbagaikan rakan dagang, beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang melaksanakan strategi menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Antara langkah utama termasuk memperluas rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada seperti RCEP dan CPTPP, serta memeterai dua perjanjian baharu dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) tahun ini.
MITI turut menekankan usaha memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui program latihan, bimbingan eksport dan e-dagang rentas sempadan dengan kerjasama agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Selaras dengan Misi 4 Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), MITI juga memberi fokus kepada kepelbagaian industri, pendigitalan serta pengukuhan rantaian bekalan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan. – MalaysiaGazette















