Jurutera QAQC CCCECRL Seksyen 13, Muhammad Aliff Aqma Amran Zaidy menunjukkan kesan pagar kawasan landasan ECRL dipotong individu yang menceroboh dan mencuri kabel.

MARAN – China Communications Construction Sdn Bhd (CCCECRL) merekodkan kerugian lebih RM3 juta ekoran kes kecurian kabel di sepanjang jajaran Pantai Timur sejak kejadian pertama pada Jun tahun ini.

Pengarah Keselamatan CCCECRL Seksyen 13, Shi Liang Hui berkata, sejak bulan Jun 2025 sehingga kini, terdapat 32 kes kecurian kabel dilaporkan dengan kejadian terbaru pada 10 Oktober baru-baru ini.

“Pahang merekodkan kejadian paling tinggi iaitu 24 kes, manakala Terengganu tujuh kes dan satu kes dilaporkan di Kelantan.

“Implikasi kejadian ini menyebabkan progres pembangunan projek ECRL ini berisiko lewat untuk disiapkan,”katanya kepada pemberita selepas tinjauan ke lokasi kecurian kabel berlaku di Kampung Luit, di sini hari ini.

Shi Liang Hui

Menurutnya, pelbagai inisiatif pencegahan kecurian telah diambil termasuk melantik dua Syarikat Keselamatan, pemasangan lebih 60 kamera litar tertutup (CCTV) selain memperkukuh kerjasama dengan pihak polis.

Jelas Shi, mereka yang terlibat dalam kes kecurian itu mensasarkan ‘overhead cable‘, ‘ground cable‘ dan kotak transformer yang baru dipasang di landasan tersebut kerana nilai yang tinggi.

Timbalan Pengurus Projek CCCECRL Seksyen 14, Ma Li Fei (kanan), Shi Liang Hui (tengah) dan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan CCCECRL Seksyen 13, Mohd Zulhairi Muhd Zaidi (kiri) menunjukkan ‘overhead cable’ yang sering dicuri sepanjang jajaran ECRL Pantai Timur.

“Apabila ia berlaku, pihak CCCECRL perlu menanggung kerugian selain mengambil masa yang lama untuk menggantikan kabel tersebut.

“Perlu diingatkan, walaupun hanya satu meter diambil pencuri, pihak kami masih perlu menggantikan kira-kira 1,500 meter kabel kerana ia tidak boleh disambung,” tambahnya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan kecurian kabel terbabit.

Tegasnya, projek ECRL merupakan projek nasional yang memanfaatkan seluruh rakyat di negara ini dan semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan kelancaran pembangunannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast