PUTRAJAYA – Sebagai simbol komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap prinsip Kerajaan Madani yang meraikan kepelbagaian dan semangat kekitaan, kementerian itu hari ini meraikan sambutan Deepavali buat kali pertama di kementerian itu secara besar-besaran.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perayaan Deepavali bukan sekadar sambutan kebudayaan semata-mata, sebaliknya membawa mesej mendalam tentang kemenangan cahaya ke atas kegelapan serta mengajak masyarakat meninggalkan sifat negatif demi membina masa depan yang lebih baik.
“Dalam perbezaan ada kekitaan dan kita sebagai keluarga Madani meraikannya di bawah payung Jalur Gemilang,” katanya ketika berucap pada Majlis Madani Deepavali@KPKT di lobi kementerian itu, hari ini.
Kor Ming turut menyentuh tanggungjawab serta amanah kementerian dalam mengawal selia perkampungan India di seluruh negara.
Jelas Kor Ming, kepercayaan itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan komuniti itu terus terpelihara.
“Tahun lepas, PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) meluluskan RM10 juta bagi kampung India, dan tahun ini ditambah lagi RM5 juta untuk naik taraf dewan, pembinaan lampu solar dan sebagainya. Ini menunjukkan tiada yang terpinggir,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM10 juta, diikuti tambahan RM5 juta tahun ini bagi pembangunan infrastruktur di perkampungan India termasuk pembinaan jalan, parit, longkang, dewan orang ramai, taman awam Madani serta penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Kor Ming turut berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang sentiasa menitikberatkan pembangunan seimbang untuk semua kaum dan lapisan masyarakat.
Beliau turut menyeru warga KPKT agar terus memperkukuh semangat perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan kepada negara. — MalaysiaGazette
















