Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia

SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat yang berstatus bankrap mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 3 di sini pada 29 September lalu atas satu pertuduhan di bawah seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Hafieza Mohd Amran didakwa kerana bertindak sebagai pengarah syarikat Fezz Auto Sdn Bhd pada 2 Jun 2024, sedangkan pada masa tersebut beliau merupakan seorang bankrap yang belum dilepaskan dan tidak mendapat kebenaran mahkamah untuk memegang jawatan atau menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di Bawah Seksyen 198(7) Akta Syarikat 2016, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak telah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 6 November 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Nurul ‘Ain Shafie, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Farhanah Shamsuri.

SSM menerusi satu kenyataan mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh suruhanjaya ini.

Katanya, SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast