PUTRAJAYA – Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tetap berjalan seperti biasa di sekolah yang dikaitkan dengan kematian seorang pelajar perempuan ditikam seorang pelajar lelaki, hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu dan memastikan tiada gangguan terhadap operasi harian sekolah terbabit.
“Perkara itu nanti kita akan lihat dengan teliti. Sekarang ini proses PdP sekolah itu akan berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian seorang pelajar Tingkatan Satu (Peralihan) yang menikam seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Damansara, Petaling Jaya menyebabkan mangsa maut.
Menurut Mohd Azam, siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan KPM tidak akan menjejaskan tumpuan murid terhadap pembelajaran mereka.
“Siasatan-siasatan itu tak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran murid,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Azam berkata, Ujian Akhir Sesi Akedemik (UASA) akan berjalan seperti biasa di sekolah terbabit kerana melibatkan peperiksaan akhir tahun.
“Alhamdulillah, semua sekolah di Malaysia masih berada dalam keadaan baik. Apa pun, KPM tetap memandang serius sebarang ancaman terhadap keselamatan pelajar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pentadbir sekolah berkenaan akan dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu siasatan.
“Kita mahu siasatan berjalan lancar dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan,” jelasnya.
Ditanya mengenai aspek keselamatan di sekolah, beliau berkata, KPM kini bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh pemantauan di semua sekolah, termasuk meneliti prosedur keselamatan sedia ada.
“Langkah-langkah keselamatan tambahan akan dimaklumkan oleh PDRM bagi memastikan kawasan sekolah benar-benar selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















