KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan rasa kekesalan dan memohon maaf atas insiden pengendalian anjing liar yang dilaporkan berlaku pada penghujung tahun 2024.
Dalam kenyataan hari ini, universiti itu berkata, ia memandang serius isu berkaitan pengendalian anjing liar di dalam kawasan kampus yang telah tular baru-baru ini
“Universiti menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah, beretika dan mematuhi peraturan semasa.
“Universiti juga menghargai pandangan masyarakat tentang tanggungjawab dan kepentingan menjaga keselamatan warga kampus,” katanya hari ini.
Menurut, UPM sudah menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menjalankan siasatan terperinci dan komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.
Tambahnya, sebagai tindakan awal bagi memelihara integriti siasatan pihak berkuasa, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) dilepaskan daripada menjalankan tugas-tugas operasi PPKKP sehingga proses siasatan selesai.
Malah, UPM juga telah menangguhkan semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih
menyeluruh dibangunkan.
“SOP ini akan menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan dan pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya sambal memaklumkan akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur dan merangka pendekatan terbaik yang
mampan.
Awal minggu lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Farid Ahmad mengesahkan sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan tindakan membunuh anjing liar di kampus UPM, selepas seorang pengadu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan universiti yang dikatakan mengupah syarikat kawalan perosak swasta bagi tujuan itu.
Farid berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















