GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menggesa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, meletakkan jawatan secara terhormat susulan pemecatan beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, tindakan itu perlu bagi membolehkan rakyat Tasek Gelugor memperbaharui mandat melalui pilihan raya kecil.
“Pemecatan ini isyarat jelas bahawa kepimpinan Bersatu sudah hilang keyakinan terhadap integriti dan kelayakan beliau.
“Individu yang dipecat atas isu disiplin dan masih terpalit kes rasuah tidak wajar kekal sebagai ahli Parlimen.
“Jadi tindakan paling bermaruah bagi Wan Saiful ialah meletakkan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Zakwan, imej Parlimen Tasek Gelugor telah tercemar dengan isu melibatkan Wan Saiful, termasuk kes rasuah berkaitan program Jana Wibawa yang kini masih dibicarakan di mahkamah.
“Rakyat Tasek Gelugor berhak diwakili oleh pemimpin yang bersih, berintegriti dan benar-benar memperjuangkan nasib mereka, bukan individu yang dibayangi skandal.
“Justeru AMK Pulau Pinang menyeru anak muda menolak politik korup dan menuntut kepimpinan baharu yang lebih berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette
















