Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pas untuk tidak menamakan calon Perdana Menteri daripada parti itu anataranya disebabkan bagi mengelakkan risiko keselamatan dan bahaya yang mungkin boleh berlaku.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya partinya menamakan calon Perdana Menteri sekarang, individu itu berkemungkinan akan disogok.

Selain itu, jelasnya, tidak mustahil juga akan ada pihak tertentu merancang seperti meletakkan jongkong emas atau dadah dalam kenderaan individu yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekali gus hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU).

Dalam masa sama, tegas beliau, keutamaan Pas dalam soal itu juga adalah memastikan parti tersebut bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) memenangi pillihan raya umum terlebih dahulu.

“Yang penting bagi kami adalah memilih calon yang berintegriti bukan untuk menentukan siapa calon itu serta menentukan dia menang pada PRU.

“Ini PRU pun tak menang lagi tapi nak namakan calon PM, ini perkara yang perlu difahami semua pihak,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sewaktu sesi perbahasan Belanjawan 2026 menempelak Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang berterusan mendesak PN menamakan calon Perdana Menteri mereka.

Menurut Hamzah, kesemua barisan ahli Parlimen ketika ini sudah mengetahui calon Perdana Menteri daripada blok pembankang, justeru menggesa Poay Tiong menyertai PN sekiranya benar-benar mahu mengetahui calon tersebut.

Terdahulu, isu calon Perdana Menteri daripada PN mencetuskan kontroversi selepas Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluluskan usul menamakan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun, keputusan itu dipertikai beberapa pemimpin Pas yang disifatkan melangkaui persetujuan Majlis Presiden PN selain turut mengangkat beberapa nama daripada parti tersebut yang juga layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Abdul Hadi (PN-Marang) berkata, PN akan berusaha membuat perubahan dalam kepimpinan negara sekiranya diberi peluang sebagai pemerintah termasuk dalam menangani soal rasuah yang disifatkan gagal dilakukan kerajaan hari ini.

Menurut beliau, perubahan dalam kepimpinan negara itu dapat dilakukan memandangkan Pas menerapkan pemilihan Islam dalam menentukan calon mereka yang akan bertanding pada PRU seperti berilmu, berakhlak dan berintegriti.

Malah, tegas beliau, mana-mana pemimpin Pas yang didapati berdepan salah laku sama ada melibatkan parti atau moral juga akan dipecat walaupun Pas akan kehilangan kerusi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast