Kakitangan Aerotrain melakukan pengujian dan pemeriksaan semasa lawatan Projek Aerotrain KLIA yang akan beroperasi semula di Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR — Kedua-dua aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan kuasa sementara yang menyebabkan gangguan perkhidmatan sekitar jam 8.30 malam tadi, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam satu kenyataan malam ini, syarikat itu memaklumkan prosedur pemulihan penumpang telah diaktifkan serta-merta, dan pasukan tindak balas lapangan terbang telah dihantar bagi membantu penumpang di dalam tren untuk dibawa ke terminal.

MAHB berkata, perkhidmatan bagi salah satu aerotrain telah dipulihkan pada jam 9.27 malam dan kini kembali beroperasi seperti biasa, manakala kerja-kerja pembaikan masih dijalankan ke atas tren kedua.

Selain itu, pengangkutan alternatif turut disediakan segera bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas, kata Malaysia Airports.

“KLIA sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini. Kami kesal atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta pemahaman semua penumpang sepanjang kerja pemulihan dijalankan,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast