Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat kes rogol berkumpulan pelajar junior dan merakamkannya di sebuah sekolah di Alor Gajah awal bulan ini didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah hari ini.

ALOR GAJAH – Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat kes rogol berkumpulan pelajar junior dan merakamkannya di sebuah sekolah di Alor Gajah awal bulan ini didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah hari ini.

Kedua-dua tertuduh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun didakwa di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee atas tiga pertuduhan merogol secara berkumpulan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii serta amang seksual fizikal.

Bagaimanapun hanya seorang daripada mereka membuat pengakuan bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dilakukan terhadap mangsa pelajar Tingkatan Tiga berusia 15 tahun lapan bulan di sekolah sama.

Seorang lagi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Selepas prosiding tertutup itu selesai, kedua-dua tertuduh menangis sambil berpelukan dengan ahli keluarga yang hadir.

Mengikut satu pertuduhan bersama, mereka didakwa melakukan rogol secara berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan
terbabit yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Yong Yi ketika ditemui pemberita di luar prosiding mahkamah.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh masing-masing didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dengan cara memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 377B yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenalan sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, remaja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara mangsa sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntuk hukuman sama.

Semua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kelas Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Alor Gajah di sini kira-kira pukul 2.50 petang pada 30 September lalu.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Beliau mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh.

Tertuduh pertama yang tidak mengaku bersalah dan diwakili peguam Chua Yong Yi bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan mengalami masalah kesihatan berikutan baharu selesai menjalani pembedahan sinus selain turut menghidap penyakit angin pasang.

Tertuduh kedua yang mengaku bersalah dan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) turut memohon jaminan rendah dan bersedia dengan sebarang syarat ditetapkan oleh mahkamah.

Majistret Dr Shu Yee kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM1,500 bagi pertuduhan kedua dan ketiga menjadikan jumlah jaminan RM7,000 untuk setiap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 26 November ini sebagai tarikh sebutan serahan dokumen bagi tertuduh pertama dan laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum menjatuhkan hukuman.

Laporan eksklusif MalaysiaGazette pada 11 Oktober lalu melaporkan empat suspek berusia 17 tahun direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Kes melibatkan mangsa, pelajar perempuan Tingkatan Tiga sekolah sama berusia 15 tahun dan kejadian pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu turut dirakam serta dilihat dua lagi suspek berusia 17 tahun menggunakan telefon bimbit.

Kejadian bagaimanapun hanya terbongkar petang 10 Oktober lalu selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut dalam kalangan suspek daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.

Kes itu mendapat liputan meluas media seluruh negara termasuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain beberapa Menteri Kabinet, bekas menteri dan pembangkang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast