JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) wajar segera menyalurkan pelitup muka ke semua sekolah sebagai langkah pencegahan awal bagi melindungi pelajar, guru serta kakitangan sekolah daripada jangkitan Influenza.
Timbalan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Noorman Kamsani berkata, langkah ini perlu dilaksanakan susulan peningkatan kes Influenza yang semakin menular di sekolah-sekolah di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
“Kita tidak boleh hanya bertindak apabila wabak menjadi parah. Sekolah merupakan kawasan berisiko tinggi kerana tumpuan murid dalam bilik darjah yang sesak dan berpanjangan.
“Penyediaan pelitup muka sebagai keperluan asas di sekolah amat penting untuk membendung penularan Influenza dan penyakit berjangkit lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar stok pelitup muka disediakan secara berterusan di setiap sekolah dan tidak hanya diagihkan apabila kes meningkat.
Jelasnya, ini bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
Langkah proaktif seperti itu katanya, bukan sahaja melindungi kesihatan pelajar, malah membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, terutama daripada golongan berpendapatan rendah.
Noorman berkata, MTPN juga menyeru ibu bapa dan komuniti setempat untuk memainkan peranan dengan memastikan anak-anak mereka mematuhi amalan penjagaan kesihatan asas.
Katanya, ini melibatkan amalan seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan kerap dan tidak hadir ke sekolah jika bergejala.
“MTPN percaya pendekatan pencegahan awal dan kerjasama semua pihak mampu mengelak penularan wabak yang lebih serius dan mengurangkan gangguan terhadap sesi pembelajaran pelajar di seluruh negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















