KUALA LUMPUR – Rakyat tidak mengharapkan Kementerian Pendidikan (KPM) menunbuhkan satu lagi jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden terbaharu rogol berkumpulan melibatkan pelajar yang berlaku di sebuah sekolah di Baling, Kedah.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, apa yang dimahukan rakyat susulan insiden itu adalah tindakan tegas diambil terhadap pesalah dan langkah konstruktif diambil untuk menjamin keselamatan pelajar.
Sudah tiba masa KPM mengambil langkah tegas dan bukannya berdolak-dalik, atau bertindak lembut dalam menangani isu-isu berkaitan masalah sosial dan akhlak dalam kalangan pelajar.
“Kesemua tragedi ini tidak lagi boleh dilihat sebagai kes terpencil tetapi sebagai kegagalan sistem pendidikan yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan satu lagi kejadian rogol berkumpulan melibatkan pelajar berlaku di sekolah apabila polis menahan tiga pelajar lelaki dan seorang bekas pelajar sekolah sama di Baling.
Lebih menjijikkan, perbuatan itu dirakam mereka dan disebarkan ke media sosial iaitu kejadian serupa seperti yang berlaku di sebuah sekolah di Melaka, baru-baru ini.
Sementara itu, Choo Seong berkata, kawasan sekolah sepatutnya tempat untuk anak-anak muda menimba ilmu, mencari kawan dan menerap nilai-nilai murni untuk menjadi seorang dewasa yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Namun sebaliknya tambah beliau, ia menjadi ‘kawasan maut’ di mana kes-kes buli semakin meningkat dan semakin serius di mana para pelajar terpaksa mengharungi dugaan dan cabaran yang membahayakan nyawa dan kesejahteraan mereka.
Malah, jelasnya, rata-rata rakyat kini juga menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah di dalam media sosial.
“Ramai juga yang meminta Perdana Menteri ‘membuang’ YB Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan atau mendesak Fadhlina sendiri meletak jawatan.
“Sudah sampai masanya kerajaan menandang serius isu ini, sebelum rakyat kehilangan kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















