JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) tanpa menunggu perbincangan atau tawaran daripada komponen Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedia berdepan pertandingan tiga penjuru dalam PRN Johor dan keputusan itu kerana status Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah pembangkang di Johor.
Jelasnya, walaupun di peringkat Persekutuan wujud kerajaan Perpaduan antara PH dan BN, namun realitinya di Johor kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh BN tanpa sebarang penglibatan rasmi PH.
“PH adalah pembangkang di Johor. Tidak wujud perkongsian kuasa di peringkat negeri.
“Jadi, sebarang kerjasama pilihan raya antara PH dan BN akan dilihat tidak konsisten serta mengelirukan pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Amanah Johor menganggap rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN di negeri ini sebagai tidak relevan, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti untuk bertanding di semua kerusi DUN.
Katanya, kerjasama dengan BN juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang Amanah memperluas pengaruh politik kerana kebanyakan kerusi tradisi parti itu kini berada di tangan BN hasil peratus keluar mengundi rendah semasa PRN lalu iaitu 54.5 peratus.
“Kerjasama sebegitu hanya akan menguntungkan sebelah pihak dan menyukarkan Amanah untuk merampas kembali kerusi yang pernah dimenangi BN,” ujarnya.
Dzulkefly menegaskan, keputusan bersiap sedia menghadapi tiga penjuru adalah hasil suara akar umbi yang kecewa dengan sikap beberapa pimpinan UMNO dan BN Johor yang didakwa memperlekeh semangat setiakawan dalam kerajaan Perpaduan.
“Ini isyarat jelas kepada UMNO/BN Johor supaya nyatakan pendirian sebenar sama ada mahu bersama PH atau bersendirian dalam PRN Johor. Jangan terus bermain teka-teki yang hanya mengundang kekeliruan rakyat,” katanya.
Amanah Johor katanya, akan memperkukuh jentera termasuk menggerakkan Angkatan Wanita Amanah (Awan) dan pemuda di seluruh kawasan DUN sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang.
Pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.
Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas satu sementara Parti Ikatan Demokratik (MUDA) juga satu kerusi.- MalaysiaGazette
















