Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang disifatkan mengeluarkan kenyataan menghina dengan menyindir “Kota Celaka” terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong ketika sidang Dewan Rakyat semalam.

DAPSY Melaka dalam satu kenyataan berkata, perbuatan itu bukan sahaja mencerminkan sikap tidak matang dan tidak beradab seorang wakil rakyat  malah mencemar kehormatan institusi Parlimen yang seharusnya menjadi medan perbahasan dasar dan kepentingan rakyat.

Menurut DAPSY, sebagai seorang ahli Parlimen, Awang sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik, menghormati rakan sejawat serta mengangkat mutu wacana politik negara.

Sebaliknya tindakan melemparkan sindiran seperti itu menggambarkan kegagalan Awang memahami tanggungjawab dan etika sebagai wakil rakyat yang diamanahkan oleh rakyat.

“Lebih menjijikkan, kenyataan ‘Kota Celaka’ tersebut bukan sekadar menghina YB Khoo secara peribadi tetapi turut menghina maruah dan nama baik seluruh penduduk di kawasan Kota Melaka.

“DAPSY Melaka menegaskan penghinaan terhadap nama kawasan Parlimen ini adalah penghinaan terhadap pengundi-pengundi Kota Melaka yang telah memilih wakil mereka secara sah dan demokratik,” katanya.

Semalam, sesi perbahasan Belanjawan 2026 kecoh selepas Awang beberapa kali `tersasul’ menyebut `Kota Celaka’ dalam merujuk kepada Poay Tiong.

Sementara itu, DAPSY Melaka turut menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik menjaga tatasusila dan adab ketika bersidang.

Ujarnya, Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi negara dan sebarang kelakuan tidak bermoral seperti menyindir dengan gelaran tidak baik tidak boleh dipandang ringan.

Dalam masa sama, DAPSY Melaka turut mendesak supaya pihak berwibawa Dewan Rakyat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan maruah serta kesucian dewan itu sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk penghinaan dan tingkah laku tidak profesional.

“DAPSY Melaka berdiri teguh bersama YB Khoo serta penduduk kawasan Kota Melaka yang berasa terhina dengan kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Kami percaya politik yang berasaskan idea dan hujah harus diangkat, bukan politik kebencian dan ejekan murahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast