Ismail dan Rosmawati menunjukkan surat daftar kelahiran Sarahfatimah Umairah Abdullah yang kini dalam jagaan mereka.

BATU PAHAT – Seorang warga emas sedang mencari anaknya yang sudah terputus hubungan sejak tujuh tahun lalu bagi menyelesaikan hak penjagaan cucu perempuannya secara sah.

Ismail Merasop, 78, dari di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam dekat sini berkata, sepanjang tempoh itu, cucunya, Sarahfatimah Umairah Abdullah kini berada di bawah jagaannya dan isteri Rosmawati Ibrahim, 57.

Katanya, usaha menjejaki anaknya itu, Nur Siti Zubaidah, 26, tidak berhasil selepas pelbagai usaha dilakukan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Siti Zubaidah pada penghujung tahun 2018 ketika menjadi wali perkahwinan Siti Zubaidah di Mersing.

“Ketika pernikahannya, anak saya itu enggan menerima anaknya itu walaupun semua urusan berkaitan mendapatkan surat daftar kelahiran sudah disediakan.

“Selepas mendirikan rumah tangga, Siti Zubaidah yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik hasil perkahwinan pertama saya telah memilih jalan hidup sendiri tanpa diketahui kedudukannya sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui.

Dia berkata, sebelum kejadian itu, Siti Zubaidah belajar di sebuah kolej di Rompin, Pahang namun terpaksa berhenti belajar.

“Apabila sampai masa untuk bersalin saya menghantarnya ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini sebelum berjaya melahirkan Sarahfatimah pada 1 Mac 2018,” katanya.

Menurut Ismail lagi, sepanjang tempoh berpantang selama tiga bulan, Siti Zubaidah tinggal bersama-sama isteri keduanya, Rosmawati Ibrahim, 57, di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam.

Ujarnya, selepas habis berpantang, anaknya itu meninggalkan zuriatnya itu kepada isterinya dengan alasan untuk belajar memandu di Kluang sebelum tidak lagi pulang.

“Kesilapan kami adalah tidak membuat penyerahan secara sah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tentang hak penjagaan Siti Zubaidah yang kini sudah berusia tujuh tahun,” katanya.

Susulan itu, Ismail berharap Siti Zubaidah dapat pulang ke Ayer Hitam supaya proses dokumentasi di JKM dapat dilakukan agar masa depan cucunya itu terjamin.

“Dia juga boleh menghubungi saya di talian 012-716 3002 untuk urusan janji temu,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast