JOHOR BAHRU – Sempena sambutan perayaan Deepavali, polis Johor melancarkan Operasi Cahaya di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan awam serta kelancaran aliran trafik terutama di lokasi tumpuan utama.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada aspek pencegahan jenayah dan pengurusan lalu lintas
Tumpuan khususnya di dua pintu darat antarabangsa iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
“Semua jabatan di bawah kontinjen Johor turut digerakkan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi melaksana operasi mengikut keperluan masing-masing.
“Kita bersedia sepenuhnya melaksanakan operasi bagi memastikan perayaan Deepavali disambut dalam suasana aman dan selamat. Tindakan pencegahan jenayah dipertingkatkan supaya tiada insiden tidak diingini berlaku di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ab Rahaman turut menjangkakan peningkatan aliran trafik sempena cuti perayaan khususnya melibatkan pergerakan keluar masuk warga Singapura melalui Tambak Johor selain kemasukan pelawat dari Indonesia seperti Batam dan sekitarnya.
“Polis sudah bersedia menghadapi kemungkinan kesesakan di laluan utama dan kawasan tumpuan awam,” tambahnya.
Ab Rahaman berkata, sepanjang tempoh perayaan, semua pegawai dan anggota polis akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin serta trafik berada dalam keadaan terkawal.
Operasi Cahaya juga, katanya, turut mencerminkan semangat harmoni dan tanggungjawab polis dalam memastikan sambutan Deepavali berlangsung dengan aman dan selamat.- MalaysiaGazette
















