Gelagat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Putrajaya Holdings 30 di The Everly, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 17 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA –  Kota Madani bukan sekadar projek fizikal, sebaliknya ia merupakan simbol kepada usaha kerajaan membangunkan sebuah bandar berasaskan nilai kemanusiaan, kelestarian dan teknologi masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu projek tersebut disiapkan segera agar dapat dijadikan model pembangunan bandar baharu yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengabaikan aspek alam sekitar dan kemajuan teknologi.

“Kota Madani ini bukan hanya untuk membina bangunan, tetapi mencerminkan nilai manusiawi, hijau dan pintar yang kita perjuangkan.

“Ia mesti dipercepatkan supaya rakyat dapat melihat hasilnya dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Putrajaya Holdings (PjH), di sini, malam tadi.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, kerajaan telah memberikan kelulusan dan sokongan penuh kepada projek berkenaan, manakala PjH diminta mempergiatkan usaha pembinaan tanpa berlengah.

“Saya ucap terima kasih kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) yang memudahkan proses kelulusan. Kini kita tunggu Putrajaya Holdings untuk memacu projek ini dengan sepenuhnya,” tambahnya.

Kota Madani yang akan dibangunkan di Presint 19 merupakan projek mega bernilai RM4 bilion menggunakan model kerjasama awam-swasta berkonsepkan bina, pajak, selenggara dan pindah (BMLT).

Projek itu tidak menggunakan dana kerajaan pada peringkat awal.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa bangga apabila Putrajaya sering menjadi sebutan pemimpin luar negara yang memuji keindahan dan keunikan pusat pentadbiran kerajaan itu.

“Putrajaya mempunyai identiti tersendiri. Dari rumah rasmi Perdana Menteri, saya dapat lihat betapa indahnya bandar ini. Pemimpin luar yang datang juga kagum dengan perancangannya.

“Walaupun pada peringkat awal ada rasa keberatan dalam kalangan penjawat awam untuk berpindah dari Kuala Lumpur, namun pandangan itu berubah selepas melihat kemudahan lengkap yang disediakan termasuk sekolah, masjid dan hospital,” ujarnya.

Anwar turut mengalu-alukan peranan sektor swasta yang akan membina hospital swasta pertama di Putrajaya, yang menurutnya bakal meningkatkan imej bandar itu di peringkat antarabangsa.

“Hospital swasta ini akan menjadi tarikan baharu dan mencipta daya saing sihat dalam sektor kesihatan, sekaligus menjadikan Putrajaya sebagai hab perubatan bertaraf serantau,” katanya.

Hal ini kerana, setiap pembangunan bandar di negara ini perlu mencontohi pendekatan Madani dengan mengutamakan kesejahteraan manusia, kelestarian alam dan kemajuan teknologi secara seimbang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast