JOHOR BAHRU – Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini diperluaskan lagi melibatkan bidang ekonomi dan sara hidup selain kesejahteraan serta keselamatan dan ketahanan komuniti.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Johor, Nurul Akmalina Shamsuddin berkata, tiga bidang utama itu wajar menjadi aktiviti KRT pada masa kini yang tidak hanya tertumpu pada aspek keselamatan kejiranan semata-mata.
“Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi perpaduan nasional yang menuntut masyarakat berperanan secara aktif dalam mengukuhkan keharmonian sosial, memperkasa ekonomi setempat serta membina daya tahan komuniti terhadap cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga Negeri Johor, sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga di Hotel New York di sini semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar.
Dalam pada itu, Nurul Akmalina berkata, JPNIN Johor rasa bersyukur serta terima kasih atas pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan KRT menerusi Belanjawan Johor 2025.
“Di bawah Teras 3: Jaringan Keselamatan Sosial, Inisiatif ke-29, kerajaan negeri meluluskan Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga (RT) berjumlah RM600,000 untuk diagihkan kepada 600 KRT aktif di seluruh negeri,” ujarnya.
Menurut Nurul Akmalina, bantuan khas itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh semangat kesukarelawanan dan memperkasa peranan komuniti akar umbi.
“Bantuan ini bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap usaha komuniti RT yang menjadi benteng pertama perpaduan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Raven berkata, pengiktirafan tersebut selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk memperkukuh jaringan sosial di peringkat komuniti.
Beliau menyeru agar setiap KRT menggunakan bantuan disalurkan dengan penuh tanggungjawab dan berkesan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.
Sambutan Jubli Emas kali ini turut menjadi platform menghargai sumbangan lebih lima dekad perkhidmatan sukarelawan RT dalam memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat Johor. – MalaysiaGazette
















