KUALA LUMPUR – Beregu muda negara, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan mencetuskan sensasi selepas mara ke final beregu wanita Kejohanan Remaja Dunia di Guwahati, India hari ini.
Dalam aksi separuh akhir di Pusat Kecemerlangan Nasional Guwahati, pilihan ketiga itu mengesahkan slot ke pentas akhir selepas menundukkan pilihan kelapan dari China, Cao Zi Han-Chen Fan Shu Tian, 15-13, 12-15, 15-7 dalam aksi separuh akhir selama 46 minit.
Zi Yu, 15, kini berpeluang menebus kekecewaan selepas dia terkandas di final edisi lalu ketika bergandingan dengan Dania Sofea Zaidi, apabila tewas kepada wakil Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki, 17-21, 17-21.
Dania yang sebelum ini menjadi rakan gandingannya terpaksa menarik diri daripada kejohanan kali ini selepas mengalami kecederaan lutut serius pada Ogos lalu yang membuka ruang buat Noraqilah bergandingan dengan Zi Yu.
Walaupun masih baharu sebagai pasangan, Zi Yu-Noraqilah pantas menyesuaikan diri dan mempamerkan keserasian tinggi di gelanggang.
Noraqilah sebelum itu turut beraksi dalam separuh akhir beregu campuran bersama Low Ziheng, namun mereka tewas 13-15, 15-12, 8-15 kepada wakil Taiwan, Hung Bing Fu-Chou Yun An.
Zi Yu-Noraqilah akan berdepan Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue dari China di final esok selepas gandingan itu mengejutkan pilihan utama Thailand, Kodchapon Chaichana–Pannawee Polyiam, 17-15, 11-15, 15-10 dalam satu lagi separuh akhir. – MalaysiaGazette
















