KOTA TINGGI – Kerajaan akan manambah Mahkamah Maritim terutama di negeri-negeri yang mempunyai banyak kes berkaitan maritim dan perkapalan berikutan kes yang semakin meningkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini hanya ada satu Mahkamah Maritim di Kuala Lumpur untuk kes-kes berkaitan jenayah maritim dan cadangan itu bagi mempercepat proses pendakwaan.
“Saya dan (Menteri Pengangkutan), Anthony Loke (Siew Fook) telah berbincang mengenai undang-undang maritim. Buat masa ini, hanya ada satu mahkamah laut di Kuala Lumpur.
“Dengan perkembangan perdagangan menggunakan laluan laut, kami bercadang menambah beberapa lagi mahkamah laut antaranya di selatan Johor, Sabah, Sarawak serta utara iaitu Langkawi atau Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar penawar sini hari ini.
Katanya, cadangan tersebut akan dibawa ke Parlimen pada awal tahun depan bagi merealisasaikannya.
Jelas beliau, kes-kes berkaitan jenayah maritim akan dibawa dalam mahkamah sivil sedia ada di lokasi masing-masing.
“Ini akan memudahkan penyelesaian kes maritim yang semakin meningkat, tanpa perlu semua kes dibawa ke Kuala Lumpur,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengerang.
Azalina berkata, undang-undang maritim sudah ada dan langkah tersebut akan memperkukuh lagi sistem mahkamah- MalaysiaGazette
















