YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi pertemuan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Putrajaya. 16 Oktober 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the videos may require further permission. MA

KUALA LUMPUR – Ops Ihsan komited salurkan bantuan komprehensif, bersepadu dan inklusif kepada penduduk Gaza.

Pengerusi Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, rakan-rakan badan bukan kerajaan yang bergabung di bawahnya sentiasa meletakkan komitmen berterusan dalam meneruskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perkara tersebut disampaikan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang turut disertai rangkaian masyarakat sivil yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Nusantara.

“Komitmen Malaysia terhadap Gaza tidak pernah berakhir. Rakan-rakan NGO di bawah Ops Ihsan tidak pernah berhenti menyalurkan bantuan dalam keadaan apa sekali pun.

“Ops Ihsan terus menjadi jambatan harapan serta memastikan setiap bentuk bantuan bukan sekadar sampai tetapi benar-benar memberi makna dan kelegaan kepada mereka yang kehilangan segalanya,” katanya.

Menurut Jismi, misi kemanusiaan bukan sahaja tertumpu kepada bantuan segera tetapi turut memberi fokus kepada bantuan jangka panjang yang dapat membina semula kehidupan dan keyakinan penduduk Gaza.

Sejak berlakunya Taufan al-Aqsa pada Oktober 2023, NGO Malaysia melakukan gerak kerja secara kolektif dalam membantu rakyat Palestin di bawah gabungan yang diberi nama Ops Ihsan.

Ia merupakan satu usaha dan inisiatif penyelarasan peringkat nasional dan dikoordinasi bersama Kementerian Luar Negeri yang menghimpunkan lebih 40 NGO, agensi kerajaan serta rakan kerjasama antarabangsa.

Melalui pelbagai fasa penghantaran, Ops Ihsan telah menyalurkan lebih 5,000 tan barangan bantuan dan lain-lain melebihi RM60 juta.

Selepas pengunduran tentera Israel, Ops Ihsan memfokuskan bantuan ke Gaza melalui negara jiran wilayah itu meliputi bekalan makanan dan minuman termasuk pek makanan kering dan keperluan asas harian.

Bantuan perubatan dan kesihatan, seperti ubat-ubatan, peralatan hospital dan kelengkapan kecemasan serta bantuan Pendidikan dengan menyediakan kelas-kelas sementara agar anak-anak di Gaza tidak tercicir peluang pembelajaran.

“Ops Ihsan percaya pendekatan gerak kerja bersepadu dan inklusif serta koordinasi bersama Wisma Putra amat penting untuk memastikan setiap bentuk bantuan memberi impak yang menyeluruh dan ia perlu kepada penggabungan kekuatan pelbagai pihak termasuk sektor awam, swasta dan masyarakat sivil di bawah satu misi kemanusiaan nasional.

“Bagi kami, misi ini lebih daripada sekadar bantuan. Ia adalah manifestasi kasih sayang dan solidariti rakyat Malaysia terhadap kemanusiaan sejagat. Setiap sumbangan, setiap doa, dan setiap usaha kecil membawa harapan besar kepada Gaza,” tambah beliau.

Ops Ihsan turut merakamkan ucapan terima kasih Perdana Menteri atas komitmen tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin di samping sokongan yang diberikan kepada gerak kerja NGO Malaysia untuk Palestin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast