Md Israk Abdullah

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor ‘dipersilakan’ bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor termasuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, UMNO negeri sentiasa bersedia bagi menjawab saranan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang menyuarakan langkah tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi BN Bahagian Tanjung Piai menyifatkan Dzulkefly terlalu ‘obses dengan kerusi’ berbanding memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini.

Katanya, tindakan Dzulkefly yang menolak sebarang rundingan kerusi dengan BN serta mendakwa kerjasama politik akan mengelirukan pengundi, menunjukkan sikap tamak dan tidak berprinsip.

“UMNO Johor tidak pernah menghalang Dzulkefly atau Amanah Johor untuk bertanding di mana-mana kerusi yang mereka suka.

“Jika beliau yakin dengan kekuatan Amanah, silakan bertanding termasuk menentang BN kerana kami sentiasa bersedia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, menariknya hanya Dzulkefly seorang yang lantang mengenai agihan kerusi sedangkan tiada sebarang kenyataan rasmi kepimpinan tertinggi Amanah Pusat berhubung perkara itu.

“Dalam keadaan kerajaan negeri sibuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat, beliau pula sibuk menuntut kerusi. Ini bukti sikap kemaruk kuasa dan tidak mementingkan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, Johor memerlukan pemimpin yang bekerja, bukan yang berpolitik sepanjang masa.

Kelmarin, Amanah Johor menegaskan kesediaan untuk bertanding di semua kerusi DUN dan berdepan pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor akan datang tanpa bergantung sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan BN.

Dzulkefly berkata, walaupun di peringkat Persekutuan wujud Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, namun realitinya di Johor kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh BN tanpa sebarang penglibatan rasmi PH.

Sebelum itu pada Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan PRN Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (dua) manakala Pas dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) masaing-masing satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast