Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Jangan terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang dijadikan umpan oleh parti-parti politik tempatan menjelang pilihan raya negeri itu, tidak lama lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti politik tempatan sepatutnya bersatu-padu demi memperjuangkan rakyat negeri berkenaan.

“Kalau benar mereka perjuangkan hak Sabah, mengapa wujud begitu banyak parti tempatan tetapi tidak satu pun mampu bersatu?

“Hakikatnya mudah semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat. Sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh. Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Bung Moktar, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbukti gagal membela rakyat dan akhirnya dibelenggu dengan isu intergriti.

“Kita sudah lihat bagaimana kerajaan GRS yang kononnya ‘parti tempatan’ gagal membela rakyat, malah dibelenggu video yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri.

“Slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa,” tambahnya.

Justeru ujarnya, BN Sabah kekal dengan pendirian bahawa negeri tersebut tidak memerlukan 10 parti politik.

Sebaliknya Bung Moktar berkata, parti politik yang benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat hanya memerlukan satu halatuju yang jujur.

“Cukuplah Sabah jadi mangsa slogan politik. Yang rakyat mahu bukan laungan kosong tetapi kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat,” katanya. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast