KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita remaja negara Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2025 tidak kesampaian apabila tumpas pada aksi final hari ini.
Pada aksi di Guwahati, India pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan terpaksa akur tumpas straight set kepada beregu China Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue 13-15, 17-19 dalam tempoh 37 minit.
Ini merupakan final kedua berturut-turut buat Zi Yu dalam acara beregu wanita selepas turut bergelar naib juara pada edisi 2024 di Nanchang, China bersama Dania Sofea Zaidi yang terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan lutut kiri Ogos lepas.
Bagi Noraqilah Maisarah pula, ini merupakan pingat kedua di kejohanan berkenaan selepas meraih gangsa menerusi acara beregu campuran bersama Loh Ziheng. – Bernama
















