KUALA LUMPUR – Hujahan lisan pihak pembelaan dan pendakwaan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak, dijadual mula didengar oleh Mahkamah Tinggi, esok.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan berlangsung di Putrajaya selama sembilan hari bermula pada 21 hingga 24 Oktober dan 27 hingga 31 Oktober ini.
Pada 6 Mei lalu, pasukan pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri, menutup kes selepas memanggil saksi terakhir iaitu SP26, pakar Forensik Dokumen, Tay Eue Kam.
Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mendapat perhatian seluruh dunia, mengambil masa keseluruhan selama 293 hari dengan mendengar keterangan 50 saksi pendakwaan.

Pada prosiding itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, kes pembelaan berlangsung selama 58 hari dimulai dengan keterangan bekas perdana menteri pada 2 Disember tahun lalu.
Ujar beliau, Najib dihadapkan ke mahkamah pada 20 September 2018 manakala hari pertama perbicaraan didengar pada 28 Ogos 2019.
“Kes pendakwaan berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 selepas mendengar keterangan 50 saksi,” ujarnya.
Menurut Muhammad Shafee, Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2024 kemudian memutuskan bekas Perdana Menteri membela diri terhadap semua pertuduhan.
Najib didakwa atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette
















