Muhammad Hanif Jamaluddin
Muhammad Hanif Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas mengajak seluruh rakyat menyertai himpunan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini pada Jumaat ini.

Naib Ketuanya, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, himpunan itu akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, di sini.

Menurutnya, kehadiran Trump ke negara ini perlu dibantah kerana beliau bukan sekadar penyokong rejim Israel, malah merupakan dalang besar di sebalik pembunuhan rakyat Palestin.

Selain itu, katanya, sepanjang menjadi Presiden AS, Trump telah menyalurkan berbilion dolar bantuan senjata kepada rejim Zionis yang akhirnya membunuh ribuan rakyat tidak berdosa di Gaza.

Dalam masa sama, tambah beliau, Trump juga menggunakan kuasa veto dalam banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu menghentikan kekejaman Israel, walaupun hampir seluruh undian diberikan kepada Palestin.

Ujarnya, Trump juga tanpa rasa malu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan AS ke sana, iaitu tindakan yang bukan sahaja biadab, tetapi menikam hati umat Islam seluruh dunia.

“Bagaimana mungkin tangan yang berlumuran darah disambut dengan senyuman dan karpet merah? Tidak! Kita mesti menolak kehadiran Trump!

“Kita mesti membantah keras sebarang usaha memuliakan penjenayah perang ini di bumi Malaysia! Ingatlah, kehadirannya bukan simbol diplomasi tetapi luka kepada umat Islam seluruh dunia.

“Kehadirannya bukan membawa damai tetapi penghinaan kepada darah para syuhada Palestin,” katanya.

Trump dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 28 Oktober ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast