BATU PAHAT – Sungai di daerah ini pernah menjadi elemen penting dalam kehidupan masyarakat di Parit Sulong terutama dalam urusan harian..
Bagi mengenang peranan sungai yang menjadi sumber minum dan makanan serta pertanian serta medium pengangkutan, satu pertandingan Rakit Berhias dianjurkan.
Sebanyak 18 kampung di Parit Sulong di sini menyertai pertandingan tersebut bersempena dengan sambutan Pesta Air di Jeti Sungai Simpang Kiri di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Sulong, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, pertandingan julung kali diadakan itu untuk memberikan pengenalan kepada generasi muda tentang kegunaan sungai di pekan ini pada zaman dahulu.
Katanya, idea untuk menjayakan pertandingan ini telah dipersetujui semua ketua kampung bagi menjadikannya tarikan kepada orang ramai selain memenuhi masa terluang sempena cuti panjang sepanjang minggu ini.
“Pertandingan ini juga sebagai bukti kemuafakatan penduduk kampung di kawasan Parit Sulong ini dalam menjayakan setiap program yang dirancang.
“Rakit-rakit yang siap dipasang lampu ini akan diletakkan di jeti ini selama seminggu bagi membolehkan penduduk dari dalam dan luar daerah untuk mencuba menaikinya pada waktu siang atau malam,” katanya dalam ucapan.
Katanya, menerusi kedatangan orang ramai di pekan Parit Sulong juga secara tidak langsung mampu memberikan limpahan rezeki kepada peniaga-peniaga makanan.
Ujarnya, sambutan yang amat baik daripada penduduk ini akan memberikan ruang kepada pihaknya untuk menjadikan Pesta Air itu sebagai acara tahunan.
Menurutnya, pesta tersebut akan ditambah dengan pelbagai aktiviti lain agar bertambah meriah pada masa akan datang.
“Kita juga mengharapkan penyertaan lebih banyak daripada penduduk pada masa akan datang agar dapat menarik kedatangan lebih ramai pengunjung,” katanya.- MalaysiaGazette
















