GAZA – Hanya 980 trak bantuan kemanusiaan telah memasuki Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, jauh daripada 6,600 yang dijangkakan.
Dalam satu kenyataan akhbar, Pejabat Media Hamas berkata, konvoi itu termasuk 14 trak yang membawa gas memasak dan 28 trak sarat dengan bahan api diesel untuk kedai roti, generator, hospital dan sektor kritikal lain, di tengah-tengah kekurangan bekalan penting yang amat diperlukan penduduk untuk kehidupan seharian.
Tambahnya, purata bilangan trak yang memasuki Gaza setiap hari sejak gencatan senjata bermula hanya melebihi 89, berbanding 600 yang dijangkakan setiap hari.
Situasi yang disifatkan sebagai “sesak nafas berterusan, kelaparan, dan pemerasan kemanusiaan yang diamalkan oleh pendudukan terhadap lebih 2.4 juta rakyat di Gaza”.
Kenyataan itu memberi amaran bahawa bekalan yang terhad gagal memenuhi keperluan kemanusiaan dan sara hidup yang minimum.
Lantaran itu, Hamas menggesa agar aliran masuk segera dan berterusan sekurang-kurangnya 600 trak setiap hari, termasuk makanan, bekalan perubatan, barangan bantuan, bahan api, dan gas memasak, untuk memastikan keadaan asas untuk terus hidup.
Pejabat itu menegaskan, agensi kerajaan tempatan tetap bersedia untuk menyelaras sepenuhnya dengan pertubuhan kemanusiaan dan bantuan antarabangsa untuk memudahkan kemasukan bantuan dan memastikan pengagihan yang adil di semua muhafazah dan kemudahan penting di Semenanjung Gaza.
Di bawah perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas, yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, fasa pertama termasuk pengunduran sebahagian tentera Israel, pertukaran tebusan dan tahanan, dan peningkatan ketara dalam penghantaran bantuan ke Gaza. –
















