JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini selepas menewaskan kelab China, Chengdu Rongcheng 2-0, di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, malam ini.
Pemain sayap lincah Harimau Selatan, Arif Aiman Mohd Hanapi berkata, secara keseluruhannya perlawanan tersebut bukan satu tugas mudah memandangkan keadaan padang yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun kata pemain terbaik perlawanan (MOTM) itu lagi, berada dalam keadaan baik, namun menegaskan semangat juang tinggi rakan sepasukan menjadi kunci kejayaan malam ini.
“Perlawanan malam ini sangat sukar kerana keadaan padang yang agak teruk, tetapi tidak mengapa. Kami tetap bermain dengan gaya permainan kami sendiri dan fokus untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua rakan sepasukan kerana memberikan 100 peratus usaha dalam perlawanan malam ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, memuji pemainnya kerana menunjukkan disiplin taktikal yang tinggi serta bijak menyesuaikan diri dengan keadaan permainan.
“Pertama sekali, tahniah kepada semua pemain kerana mereka memberikan 100 peratus dan, yang paling penting, mereka faham situasi perlawanan serta tahu apa yang perlu dilakukan hari ini,” katanya.
Beliau berkata, JDT sebenarnya boleh bermain dengan lebih baik kerana dapat mendominasi dan dapat mengawal permainan namun pemain serasi dengan keadaan padang malah berjaya menyesuaikan diri dengan baik.
“Apabila berdepan pasukan yang kuat dengan pemain berkualiti serta suasana perlawanan yang hebat seperti malam ini, kami benar-benar menikmatinya. Kemenangan ini dianggap sebagai bonus buat pasukan,” ujarnya.- MalaysiaGazette















