MELAKA – Seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Melaka berhampiran sebuah premis makanan terkenal, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat kira-kira jam 4.45 petang daripada seorang lelaki.
Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat penemuan objek menyerupai manusia terapung di sungai berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa lengkap berpakaian baju dan seluar serta disyaki berbangsa India berdasarkan warna kulit dan gelang tali yang dipakainya.
“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan jenayah pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ketibaan polis, pekerja Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka bersama orang awam bertindak mengangkat mayat berkenaan ke dalam bot sebelum dibawa ke tepi sungai dan insiden itu tular di media sosial.
Mengulas lanjut, Christoper berkata, mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 013-8515934 bagi membantu siasatan,” katanya.
















