Remaja perempuan yang dipercayai ditikam ketika sedang menunggang motosikal.

MELAKA – Tindakan pantas polis berjaya memberkas seorang pemuda yang dipercayai melibas seorang remaja perempuan menggunakan pisau ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu di sini petang semalam.

Tangkapan terhadap suspek berusia 25 tahun itu dibuat dalam tempoh kira-kira enam jam selepas kejadian di rumahnya di Tangga Batu di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.

Sumber berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabatan Polis Daerah Melaka Tengah.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kes disiasat dan menunjukkan sebilah pisau berukuran kira-kira 27 sentimeter di dapur rumah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Pisau yang dipercayai digunakan suspek.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek berkenaan.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang mencari saksi bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera selepas dipercayai dilibas senjata tajam ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu.

Christopher berkata, kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu berlaku ketika mangsa sedang membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal semalam mangsa mendakwa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya malah tidak mempunyai musuh atau perselisihan faham dengan mana-mana individu.

Susulan itu, mangsa dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka selepas mengalami luka di belakang pinggang sepanjang tujuh sentimeter dan lebar tiga sentimeter.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja perempuan cedera ditikam ketika menunggang motosikal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast