Gambar hiasan

KOTA TINGGI – Menjanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam seminggu.

Itu modus operandi sindiket pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi Whatsapp sehingga berjaya memerangkap seorang lelaki dan menyebabkannya kerugian RM380,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang masuk perangkap dengan taktik tersebut.

Beliau berkata, semuanya bermula pada 10 Oktober lalu selepas mangsa tertarik dengan pelaburan tersebut menerusi seorang lelaki yang dikenali menerusi Whatsapp.

“Skim pelaburan yang ditawarkan itu membawa keuntungan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Tertarik dengan keuntungan besar tersebut, mangsa membuat lapan transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza untuk tujuan pelaburan bermula 10 hingga 15 Oktober lalu berjumlah RM380,000,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi suspek semalam untuk menuntut wang keuntungan pelaburan namun dia tidak mahu menyerahkannya.

Sebaliknya suspek meminta mangsa menambahkan lagi wang pelaburan, kata beliau lagi.

“Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis hari ini selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan dan keuntungan daripada syarikat tersebut,” ujarnya.

Yusof memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti di Facebook, Instagram dan TikTok.

“Orang ramai juga diseru untuk menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang tidak dikenali melalui perkhidmatan Semak Mule yang tersedia di dalam talian serta memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.

Menurut beliau, sekiranya menjadi mangsa penipuan, mangsa boleh hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast