Dr. Awang Azman Awang Pawi

KUALA LUMPUR – Tindakan MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN) hanya akan membawa lebih banyak kerugian kepada parti itu berbanding kepada gabungan parti politik tersebut.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, lebih buruk lagi MIC bakal kehilangan sokongan termasuk ‘payung besar’ BN.

MIC juga berisiko menjadi seperti parti-parti kecil lain yang kini tenggelam daripada arus politik iaitu seperti Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Parti Makkal Sakti Malaysia, ujarnya.

Awang Azman menjangka BN tidak akan lumpuh tanpa MIC, sebaliknya parti itu yang akan berdepan dengan impak yang besar.

“Ini termasuk kehilangan akses logistik, jentera, dan legitimasi dalam politik arus perdana. MIC tanpa BN hanyalah parti kecil tanpa kekuatan kerusi dan tanpa gabungan kukuh untuk bertanding.

“Maka BN tidak akan lumpuh tanpa MIC. Malah, MIC yang akan tenggelam tanpa BN. Undi kaum India bukan lagi ditentukan oleh satu parti, tetapi oleh kredibiliti calon, naratif inklusif dan kemampuan menangani isu rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Awang Azman, BN tidak akan goyah tanpa parti itu, sebaliknya ia secara tidak langsung peluang untuk BN membersihkan imej daripada memiliki parti komponen yang tidak memberi nilai tambah.

“Ketiadaan MIC sebenarnya boleh menjadi peluang kepada BN untuk melakukan ‘reset imej’. MIC sering dilihat sebagai parti elitis, ketinggalan dan gagal memperjuangkan isu semasa masyarakat India seperti pekerjaan, pendidikan dan hak ekonomi.

“BN boleh menggunakan ruang ini untuk membina kerjasama dengan kumpulan baharu seperti Friends of BN, NGO India muda, dan tokoh profesional India yang lebih progresif,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Awang Azman berkata, BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi berpeluang untuk menstruktur semula komposisi gabungan dengan membuka ruang kepada parti baharu dan masyarakat pelbagai etnik yang lebih dinamik dan realistik dengan politik semasa.

“MIC bukan lagi penentu undi India. Statistik menunjukkan majoriti pengundi India tidak lagi mengundi atas dasar kesetiaan parti seperti dahulu. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -15 (PRU15), undi masyarakat India banyak beralih kepada calon Pakatan Harapan (terutama PKR dan DAP), manakala MIC hanya menang kerana undi Melayu dan pengaruh lokal.

“Oleh itu, jika MIC keluar BN, tak timbul isu defisit undi kaum India. Hakikatnya undi itu sudah lama “bocor” ke PH sejak 2018,” katanya.

Terdahulu beliau menyifatkan MIC sudah lama kehilangan taring dan kini tidak lagi dilihat sebagai sebau parti yang mempunyai pengaruh besar mewakili kaum India seperti zaman Tun S. Samy Vellu.

“Realitinya, MIC kini umpama ‘bayang pada sejarahnya sendiri’. Lebih banyak bergantung kepada jenama BN daripada menyumbang kekuatan sebenar kepada gabungan itu,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast