KOTA TINGGI – Ibu kepada pasangan yang rentung dalam kemalangan awal pagi tadi tidak menyangka pelukan dan ciuman daripada Aiza Nur Elysha Sabri, 17, semalam adalah yang terakhir.
Hapisah Abdul Aziz, 50, merasakan itu hanya pelukan dan ciuman biasa untuk meminta restunya sebelum keluar menyambut hari lahir teman lelakinya.
“Dia memang tidak ada tunjukkan sebarang perubahan. Kali terakhir saya jumpanya awal pagi semalam ketika dia hendak pergi ke sekolah kerana ada program di sekolah.
“Masa itu dia salam peluk cium saya. Tak sangka itu jadi yang terakhir kalinya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), hari ini.
Terdahulu portal ini melaporkan Aiza Nur Elysha dan Muhammad Daniel Saberi, 21, rentung akibat terperangkap susulan kereta Toyota Vios yang dinaiki terbakar.
Kereta tersebut dilaporkan melanggar pokok kelapa sawit di Kilometer 32 Jalan Tanjung Balau-Sedili di sini awal pagi tadi.
Muhammad Daniel Saberi merupakan seorang tentera manakala Aiza Nur Elysha merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu.
Bercerita lanjut, Hapisah mengetahui Aiza Nur Elysha maut menerusi kumpulan WhatsApp selepas berita kemalangan melibatkan anaknya dan teman lelakinya itu tersebar dalam media sosial.
Dia dimaklumkan oleh seorang anaknya bahawa kereta dinaiki Aiza Nur Elysha bersama-sama Muhammad Daniel terbakar dalam nahas berkenaan.
“Kira-kira pukul 7 pagi ada polis hubungi saya menyuruh saya ke hospital bawa kad pengenalan anak. Masa tu memang tak tahu anak sudah meninggal dunia kerana polis belum maklum keadaan anak.
“Namun bila dimaklumkan sedemikian kami semua sudah dapat agak sebab sudah tersebar dalam group WhatsApp ada kemalangan kereta terbakar di mana seorang lelaki dan perempuan maut.
“Anak-anak lain memang kenal kereta Toyota Vios itu adalah kenderaan yang dinaiki anak dan teman lelakinya,” katanya.
Suri rumah itu berkata, Muhammad Daniel memang ada meminta izin kepadanya membawa Aiza Nur Elysha yang mesra dipanggil Baby itu keluar petang semalam.
“Dia tak cakap hendak ke mana tapi dia minta izin nak keluar. Saya kata boleh. Masa tu dalam pukul 5.30 petang dan beritahu nak sambut hari lahir Muhammad Daniel.
“Mereka memang dah biasa mereka keluar bersama-sama tapi setiap kali hendak keluar memang Muhammad Daniel akan meminta izin terlebih dahulu kepada saya,” katanya.
Hapisah berkata, anaknya itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu dan tahun ini bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Arwah anak nombor enam dari lapan beradik itu. Dia seorang anak yang manja. Mungkin sebab dia adalah anak perempuan bongsu dalam keluarga itu dia agak manja,” ujarnya.
Tambahnya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 4, di sini, petang ini.- MalaysiaGazette
















