ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah ditahan kerana terbabit mencuri beberapa dalam pasar raya sekitar Gelang Patah dan Kangkar Pulai.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek berkenaan ditahan di kawasan Kulai pukul 4.30 petang, pada Jumaat lalu.
“Hasil siasatan mendapati suspek iaitu lelaki tempatan berusia 50 tahun mempunyai rekod jenayah lampau serta rekod berkaitan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Hasil tangkapan itu turut membawa kepada rampasan beberapa barangan yang dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antaranya satu topi berwarna hitam, satu dressing Pomade, satu styling pomade, lima minyak wang dan dua pek minuman keras dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM500.
Tambah Kumarasan, dengan tertangkapnya suspek polis berjaya menyelesaikan empat kes kecurian dalam pasar raya yang berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek kini direman selama enam hari mulai 18 hingga 23 Oktober ini bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Jelasnya, kes itu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (mencuri dalam bangunan) serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan (memiliki harta curi).
“Polis Daerah Iskandar Puteri akan terus bekerjasama dengan masyarakat dalam membanteras sebarang bentuk jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486 bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















