Dr Mohd Rizal Salleh

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)mengumumkan pelantikan Profesor Dr Mohd Rizal Salleh sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 21 Oktober 2025.

Pelantikan bekas Dekan Sekolah Pengajian Siswazah itu bagi mengisi jawatan dikosongkan Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim yang telah bersara wajib baru-baru ini.
Menurut kenyataan UTeM, pelantikan itu mendapat persetujuan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mohd Rizal,58, memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Tokushima University, Jepun pada tahun 2000 sebelum melanjutkan pengajian
ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Sistem di Brunel University, United Kingdom pada tahun 2007.

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 6 tahun dalam bidang perindustrian dengan menjawat beberapa jawatan penting di beberapa buah syarikat industri
antaranya TKR (M) Manufacturing Sdn Bhd dan Tractors Malaysia.

Memulakan kerjaya dalam bidang akademik sebagai pensyarah di UTeM bermula pada 1 April 2022 dan sepanjang karier beliau di sini mencatatkan pelbagai
pencapaian membanggakan.

Beliau sememangnya berpengalaman luas dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran universiti, pernah menyandang jawatan sebagai dekan fakulti selama
lebih lima belas tahun di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Sekolah Pengajian Siswazah, UTeM bermula tahun 2009 hingga kini.

Di bawah kepimpinan dan reputasi cemerlang beliau, kedua-dua fakulti tersebut telah berjaya mencapai kemajuan dalam penawaran pelbagai program pengajian
baharu di samping penyerlahan dalam konteks penyelidikan inovasi serta program kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa.

Beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan terutamanya pengkhususan Lean Manufacturing dan Kejuruteraan Industri ini turut bergiat aktif dalam bidang penulisan jurnal dan prosiding bertaraf antarabangsa.

Pada masa yang sama, UTeM turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Zulkifilie Ibrahim atas sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dengan
UTeM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast