KUALA LUMPUR – MyBarakah Synergy Sdn. Bhd. (MyBarakah) membangunkan e-wallet atau dompet digital dan kad digital dikenali MyBarakah yang membolehkan urusan pembayaran, pembelian dan pengagihan bantuan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.
Pengarah urusannya, Noorhaslizan Shah Sulaiman berkata, ia bukan sekadar alat transaksi tetapi sebuah platform sosial yang menyokong agihan zakat, sedekah, infaq dan sumbangan dengan cara yang lebih teratur, telus dan boleh dijejaki.
MyBarakah juga sebagai satu inisiatif yang menggabungkan teknologi kewangan moden dengan nilai-nilai Islam bagi mewujudkan ekosistem bantuan dan pembayaran yang bukan sahaja efisien, tetapi juga berintegriti.
“Operasi syarikat telah memulakan aktivitinya sejak tahun 2021 dengan menguruskan pengagihan zakat, bantuan, sumbangan dan wakaf kepada kumpulan sasaran dengan menggunakan platform e-wallet melalui kad digital khas.
“Ketika itu semasa pandemik, konsep penyerahan sumbangan mengunakan platform e-wallet sangat berkesan untuk membantu kumpulan penerima bantuan menerus kelangsungan dalam persekitaran yang sukar.
“Kad digital itu boleh digunakan untuk transaksi pembayaran, pembelian dan juga platform untuk mengagihkan bantuan kepada penerima yang layak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noorhaslizan memberitahu, buat masa ini, MyBarakah memiliki kira-kira 3,000 penerima bantuan dan menjangkakan melalui kerjasamanya dengan banyak badan bukan kerajaan dan juga pusat zakat negeri serta pihak berkuasa lain, jumlah penerima terbaharu itu bakal mencecah kepada 180,000 orang.
Antara kelebihan perkhidmatan itu adalah sumbangan yang diterima oleh pihaknya akan disalurkan terus kepada penerima bantuan dan segala rekod transaksi yang dijalankan dapat disemak oleh pihak penyumbang dan juga pentadbir dana.
“Sehubungan itu, di sini dilihat tiada isu ketirisan bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada mereka yang layak,” ujarnya.
Noorhaslizan menambah, MyBarakah kini sedang membina sebuah ekosistem ekonomi berunsurkan syariah yag memiliki elemen kebertanggungjawaban, membantu meningkatkan taraf ekonomi Islam dan juga mencari keberkatan.
Selain itu, ia juga menyediakan platform yang menyenangkan kepada masyarakat untuk menyumbang dan menerima bantuan dengan lebih mudah, tanpa sebarang keraguan dan juga tanpa batasan. – MalaysiaGazette















