NIBONG TEBAL – Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire nyaris maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Ladang Victoria di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.07 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal tiba di lokasi enam minit kemudian.
Katanya, pasukan keselamatan di lokasi mendapati sebahagian MPV itu berada dalam parit sedalam satu meter dan terdapat seorang lelaki berusia 40-an tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa hanya cedera ringan dan berjaya dikeluarkan pada jam 10.18 pagi menggunakan peralatan khas,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap dengan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.51 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















