Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng menyifatkan larangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyediaan arak di sekolah sebagai menjolok ‘sarang tebuan’.

Guan Eng mendakwa, kenyataan terbabit yang dibuat di Dewan Rakyat menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina

Menurut Guan Eng, amalan menghidangkan arak dalam acara seperti perkahwinan Cina, makan malam di kuil atau acara hiburan di dewan sekolah awam Cina di luar aktiviti sekolah tanpa penglibatan pelajar, telah berterusan sejak Merdeka.

Masyarakat Cina dakwanya, tidak bersetuju dengan pendapat Anwar bahawa larangan arak bukan untuk mengenakan nilai dan pandangan Islam dengan menyekat hak bukan Islam serta untuk menegakkan sekolah sebagai tempat pendidikan untuk kanak-kanak.

Katanya, sekolah rendah Cina terkenal sebagai institusi pendidikan yang cemerlang dan pelajar tidak terdedah kepada arak dan ternyata mempunyai akhlak dan nilai etika yang baik.

Menurut beliau, bilangan rogol, liwat atau penderaan seksual kanak-kanak di sekolah Cina juga rendah.

Katanya, ketidakpuasan hati masyarakat Cina kerana Anwar membiarkan dirinya menari mengikut rentak pelampau dan perkauman, dengan mengganggu aturan adat yang tidak menimbulkan kontroversi atau memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam.

“Malah, ketika Pas berada dalam kerajaan sekalipun, parti itu tidak pernah mencampuri urusan sekolah rendah Cina, dan aktiviti sebegini diteruskan tanpa gangguan di dewan sekolah Cina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serentak itu beliau turut mempersoalkan sama ada hidangan daging babi akan menjadi sasaran seterusnya selepas larangan arak di sekolah oleh kerana hidangan itu diharamkan di institusi kerajaan.

“Adakah sekolah rendah Cina juga akan berdepan larangan menghidangkannya semasa majlis perkahwinan, jamuan kuil, atau acara kebudayaan masyarakat Cina?,” soalnya.

Pemimpin DAP dan Setiausaha Agung parti, Anthony Loke, katanya, memahami kebimbangan masyarakat Cina ini dan telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Anwar bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak agar masyarakat kaum itu dapat meneruskan amalan tradisi dan kebudayaan mereka di dewan sekolah rendah Cina.

Sebelum ini, Loke juga telah berjaya memastikan semua pelajar terbaik SPM mendapat tempat dalam program matrikulasi, dan semua pelajar cemerlang STPM diterima masuk ke kursus pilihan mereka di universiti awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast