Noraini (tengah) dan Rosni (tiga kiri) menyerahkan Pembiayaan Dananita dalam Program Pemerkasaan Wanita Mara dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Johor di Menara MBJB, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Wanita UMNO berharap kuota 30 peratus calon wanita mewakili parti itu akan direaliasikan pucuk pimpinan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, setakat ini hanya 11 peratus wanita menjadi calon pilihan raya walaupun permintaan itu sudah lama dibuat sayap pergerakan tersebut.

“Memang agak sukar (tuntutan itu dipenuhi) tetapi kita tidak akan berputus asa. Wanita terkenal dengan kesetiaan tak adalah nak melompat-lompat (parti).

“Jadi kesetiaan dan perjuangan ini, wanita sebagai ibu, kakak dan semua sekali bersedia untuk menjadi calon,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pemerkasaan Wanita Mara dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Rosni berkata, kuota itu adalah sama sama seperti diamalkan di negara luar contohnya Indonesia yang menetapkan 30 kuota wanita menjadi calon pilihan raya.

Di peringkat negeri katanya, sebanyak 23 peratus kuota untuk calon wanita sudah diisi manakala di negeri lain masih lagi sedikit dan di bawah jumlah tersebut.

Beliau mahu wanita diberikan peranan yang lebih selepas ini dan pihaknya sudah bersedia sekiranya diberi peluang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast