Noraini (kiri) menerima cenderahati sambil diperhatikan Rosni (tengah) dalam Program Pemerkasaan Wanita Mara dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Johor di Menara MBJB, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatatkan nilai jualan lebih RM100 juta di bawah program Gate to Global (GTB) di pasaran antarabangsa dalam tahun ini.

Ahli Majlis Amanah Rakyat, Datuk Rosni Sohar berkata, kejayaan itu menerusi 50 usahawan tempatan yang berjaya menembusi pasaran luar antaranya China, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand.

“Produk yang menembusi pasaran luar seperti biskut, kopi, produk serta makanan dan minuman (F&B) Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, program GTG memberi peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka di luar negara menggunakan jenama tunggal yang diiktiraf bawah Mara.

Dalam perkembangan lain, Rosni berkata, MARA memperuntuk RM42.4 juta bagi program usahawan wanita di Johor dan 1,700 individu menerima manfaat tahun ini.

Ia merangkumi RM1.13 juta bagi program pembangunan, RM35.36 juta untuk kemudahan pembiayaan serta RM5.93 juta bagi penyediaan premis perniagaan yang kondusif.

“Bukan itu sahaja, program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dalam kalangan wanita bumiputera khususnya dalam aspek pengurusan perniagaan, pemasaran digital, literasi kewangan serta penguasaan teknologi terkini,” ujarnya.

Rosni yang juga Pengerusi Program Pemerkasaan Wanita MARA berkata, tujuannya agar mereka lebih bersedia dan yakin untuk bersaing secara efektif di pasaran terbuka.

Melalui latihan dan bimbingan yang komprehensif, MARA berperanan membantu wanita memperkukuh kecekapan profesional, merancang strategi perniagaan lebih berkesan serta membina asas perniagaan yang mampan dan berdaya tahan untuk jangka masa panjang.

Terdahulu, Noraini dalam ucapannya menyambut baik usaha yang dilakukan MARA dalam meningkatkan produktiviti usahawan terutama golongan wanita di negara ini.

“MARA komited dalam membangun ekosistem usahawan wanita yang inklusif, meliputi kawasan luar bandar dan juga bandar. Ini membolehkan wanita seluruh negara mendapat peluang yang adil terutamanya dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast