SHAH ALAM – Festival Mega I LINDUNG U 2025 yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, menjadi platform terbaik kepada orang ramai khususnya para pencarum untuk mendapatkan lebih maklumat berhubung perkhidmatan yang ditawarkan agensi berkenaan.
Malah, ia juga merupakan kesempatan kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan apabila festival itu turut menghimpunkan majikan di bawah satu bumbung yang menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan.
Bagi seorang pengunjung, Ong Boon Seong, 45, dia tidak melepaskan peluang hadir pada hari pertama festival itu berlangsung hari ini bagi mendapatkan maklumat berhubung situasi yang sedang dihadapinya.
Menjelaskan lebih lanjut, Boon Seong berkata, dia baru kehilangan pekerjaan sebagai seorang ketua jabatan di sebuah kilang kira-kira dua bulan lalu selepas syarikat tempatnya bekerja terpaksa mengecilkan operasi.
Katanya, dia bertuah kerana merupakan seorang pencarum PERKESO dan kini menikmati manfaat berupa bayaran pampasan secara bulanan ekoran kehilangan pekerjaan.
“Saya ambil kesempatan hadir hari ini selepas mendapat maklumat menerusi e-mel MYFutureJobs yang mana banyak tawaran pekerjaan turut dibuka pada festival ini.
“Hari ini juga saya berpeluang menyertai dua sesi temu duga bersama syarikat yang bersesuaian dengan kelayakan dan pengalaman saya dan berharap ada peluang untuk mendapat pekerjaan baru nanti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Bertempat di pekarangan Stadium Shah Alam, Festival Mega I LINDUNG U 2025 yang bermula hari ini akan berlangsung sehingga Ahad ini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Festival itu memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan penjenamaan semula produk PERKESO kepada orang ramai khususnya para pencarum iaitu Lindung Pekerja; Lindung Kerjaya; Lindung Kendiri dan Lindung Kasih.
Pelbagai aktiviti menarik dijadualkan sepanjang penganjuran festival itu antaranya jualan 60 gerai makanan viral dan popular; pemeriksaaan kesihatan percuma dan konsert oleh barisan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr yang berlangsung setiap malam.

Sementara itu, bagi seorang lagi pengunjung, Badrul Amin Mokhtarudin, 27, dia hadir bagi menemani isterinya, Siti Nurizuan Che Wan Abdullah, 26, yang baru kehilangan pekerjaan selepas ditawarkan Skim Pemisahan Wajib (MMS) dari kilang tempatnya bekerja.
“Kami datang ke festival ini untuk mendapatkan maklumat dan pandangan lanjut daripada PERKESO berhubung manfaat dan faedah yang boleh diperoleh isteri saya yang baru ditawarkan MMS kira-kira sebulan lalu.
“Dalam masa sama, kami juga boleh meninjau peluang-peluang pekerjaan baharu yang ditawarkan yang mungkin ada bersesuaian dengan kelayakan dan pengalaman isteri saya,” katanya.
Dalam pada itu, bagi seorang pensyarah, L. Treka, 23, dia hadir ke festival tersebut sebagai guru pengiring kepada kira-kira 70 penuntut Kolej Kemahiran Pure Technic dan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, festival sebegitu menjadi pilihan kepada kolej pendidikan berkenaan dalam mendedahkan para pelajarnya kepada dunia pekerjaan sebenar.
“Dalam masa sama, saya juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berkenaan Perkeso khususnya dari segi manfaat dan faedah perlindungan yang ditawarkan memandangkan saya juga merupakan pencarum baharu iaitu baru bertugas sebagai pensyarah kira-kira 10 bulan lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















