Sanae Takaichi yang baru sahaja memegang jawatan Perdana Menteri Jepun selama 4 hari turut hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  menyeru agar kerjasama ASEAN-Jepun diperkukuh dan diperdalam serta menekankan bahawa potensi besar perkongsian itu berteraskan kepercayaan, nilai bersama serta persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama.

Dalam ucapan pembukaannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28, Anwar berkata, ASEAN berhasrat untuk terus bekerjasama rapat dengan Jepun bagi memperkukuh visi bersama dalam bidang inovasi, tenaga bersih dan pertumbuhan berdaya tahan.

“Saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, ke Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun beliau yang pertama.

“Kami mengucapkan tahniah atas pelantikan anda dan berharap kepimpinan anda akan membawa semangat baharu kepada persahabatan jangka panjang antara kita.

“Dengan semangat ini, saya menantikan pandangan rakan-rakan sejawat yang dihormati ketika kita merangka arah baharu yang lebih segar dan berpandangan ke hadapan bagi memperkukuh kerjasama ASEAN-Jepun,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28 di sini hari ini.

Takaichi yang juga Presiden Parti Demokratik Liberal yang memerintah Jepun dipilih sebagai Perdana Menteri negara itu pada 21 Oktober lalu sekali gus menjadi pemimpin wanita pertama Jepun.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, Jepun berhasrat untuk memanfaatkan dasar Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP) bagi memperkukuh lagi hubungan dengan ASEAN.

Perdana Menteri baharu itu turut menegaskan bahawa Jepun mendukung FOIP dan sentiasa menyokong Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) yang berkongsi prinsip dan nilai asas yang sama.

“Adalah amat menggembirakan kerana kita dapat menerima pakai kenyataan bersama dengan para pemimpin ASEAN di sini hari ini (Ahad), yang membentuk sinergi antara FOIP dan AOIP serta mengesahkan hasrat kita untuk menggalakkan kerjasama lebih erat antara Jepun dan ASEAN.

“Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-10 sejak mendiang Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe melancarkan FOIP pada 2016. Kami akan menggunakan peluang ini untuk menempatkan semula FOIP sebagai tonggak utama diplomasi Jepun dan mengembangkannya selaras dengan perubahan semasa,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast